Wednesday, May 28, 2008

Melayu Semakin Lupa

Atas nama sukan
Di tambah nafsu minat melampau
Kita lupa kezaliman penjajah
Lupa pada Kota Melaka
Tidak ingat Pengorbanan wira - wira bangsa
Pada Tok Janggut
Datuk Bahaman, Mat Kilau
Haji Abdul Rahman Limbong
Siapa mereka ?
Di mana waris - waris mereka ?
Terbelakah penghidupan mereka
Kita tidak peduli langsung tidak menyapa
Kita lebih kagumi penjajah bangsa kita
Bangsa yang merompak hasil negara kita
Bangsa merosak anak bangsa dan agama
Yahudi Nasrani terus diturut
Berkumpul remaja berembun
Melihat piala di susun
Piala Dunia
Piala Uefa
Piala Euro
Pelbagai kejohanan di cipta
Anak bangsa letih berjaga
Nilai kerja entah ke mana
Tuntutan agama entah bagaimana
Akhirnya bangsa Yahudi Nasrani yang di sanjungi
Dengan nilai wang harga diri di perhitung
Rosak bangsa rosak agama
Tunggulah saat
Tenggelamnya nilai Agama
Hancurnya tamadun bangsa sendiri

Wednesday, May 21, 2008

Keindahan Alam

Bersyukur aku pada yang Esa
Memenuhi alam ini dengan keindahan
Membuat jiwa terasa damai ketenangan
Hati rasa kebesaran Mu Ya Allah
Membuat aku kagum segalanya
Mengenal diri ini fakir sebenarnya
Tiada apa harus dibanggakan
Hanya menumpang di bumi Mu jua
Segala kelilingku milikMu segala
Aku tiada berdaya sebenarnya
Tiada segala sesuatu apa
Hanya rahmatMu jua
Mampu bibir untuk bergetar
Bisa berdenyut jantung kecilku
Dapat melangkah kaki ku hayun
Berjuta syukur tiada berkecukupan
Untuk ku ucapkan padaMu Ya Allah
Benar
Segalanya MilikMu

Takutkan Allah wahai Kuala Lumpur

Tiga hari yang lalu kau digegarkan
Dua hari kemudian kau dikejutkan lagi
Datang ribut yang menerkam gila
Kebakaran gudang dan kedai berselang
Mayat hanyir sentiasa diurat jalanmu
Kaki dan tangan insan terjelma merata
Nyawa penghunimu bagai sampah layaknya
Noda dan zina mainan harimu jua
Mengapa hingga kini penghunimu masih alpa
Tentang hikmat takutkan Allah jua
Penghunimu telah lupa kewujudan yang Esa
Menggila pangkat, harta jua
Hingga lupa jalan pulang
Lupa pada hakikat diri sebagai abdi
Semakin alpa liang lahad menanti
Hari hitungan diri semakin dekat sudah
Penghunimu sudah lupa segalanya
Lihatlah bagaimana hidupan dimusnah
Bumi Myanmar terbukti sudah
Hanya tiupan sedetik cuma
Ribuan nyawa hilang kernanya
Harta terkumpul lenyap dan lesap
Perhati pula China bergegar
Bangunan megah menyembah bumi
Manusia menjadi penghuni dalamnya
Yang terselit yang terkepit
Menderita menjerit insan terbala
Kepada Allah kembali jua
Insaflah wahai penghuni kota
Bumi ini bukan kita pemiliknya
Walau bertimbun harta dikumpul
Berpuluh peti emas dikepung
Kehendak yang Esa tidak bisa dilindung
Bala mendatang tidak bisa mengendah
Penuhilah masjid dan ramaikan surau
Halangilah maksiat yang berlaku di depan mata
Walau kita tidak punya kuasa
Lafazkan di hati kita benci perbuatan hina
Mata kita jagalah haknya
Telinga yang ada gunakan sebaiknya
Tangan dan kaki pergunakan seadanya
Jauhi maksiat kerja terlaknat
Amalan doa pertolongan di pohon
Pintalah semoga bala terlindung
Hanya pada Allah segalanya dipinta

Monday, May 12, 2008

Lihatlah Anak - Anakku

Lihatlah anak - anakku
Lihatlah dengan mata hati
Lihatlah kebesaran tuhan kita
Temuilah keagonganNya
Bisa merubah segala kehidupan
Bisa menduga berbagai kejadian
Membuktikan kita hanya debu yang hina
Tiada apa yang dapat dibanggakan
Lihat sahaja Myanmar di bala
Tiupan taufan nama di beri
Ratusan nyawa melayang cuma
Harta bertimbun entah ke mana
Lembu sekandang hilang melayang
Padi di baruh tiada mengemas lagi
Bala mendatang hancur segala
Insan yang kononnya gagah entah ke mana
Mungkin di celah pohon yang tumbang
Mana hilang puteri jelita
Konon wajahnya rebutan segala
Mungkin tertanam di dalam lumpur
Lihatlah anak - anakku
Apa berlaku di negara China
Bergegar bumi bergoyang segala
Kuasanya Allah atasi segala
Besi waja menyembah bumi
Batu pejal berdebu kini
Mana pergi ketamaduan pembinaan
Siapa gagah empunya harapan
Bukti kuasa tiada tandingnya
Lihatlah anak - anakku
Bukti Yang Esa tiada tandingnya
Harta dikumpul tiada gunanya
Wang bertimbun tiada nilainya
Bila datang balanya taufan
Bergegar bumi balanya jua
Tiada guna pangkat di dada
Apa guna senjata di pinggang
Bala dari Allah tiada siapa yang bisa menyanggah
Lihatlah wahai anak - anakku
Bekalan ke sana hanyalah amal
Kumpullah bekalan banyakkan amalan
Bala Allah tiada haribulan
Tiada berita tiada pemberitahuan
Lemahnya badan mengenang kejadian
Tahu hakikat kenallah tujuan
Diri dijadi untuk diabdi
Kepada Allah tujuan di tujui

Tuesday, April 15, 2008

Ayah Ibu Tanggungjawabku

Insan istimewa ciptaan Allah
Membesar dan mendidikku
Tidak kenal penat lelah
Tidak kenal kenal erti mengalah
Pada kerenah kelaku adabku
Penuh perangaiku menguji sabar mereka
Kecilku penuh kejahilan
Remajaku penuh keaiban
Dewasaku penuh kebodohan
Kalian mendidik dan mengajarku
Mengenal erti hidup dan kehidupan
Anak apakah aku ini
Masih lupa tanggungjawab padamu
Terbuai mimpi dan khayalan
Anganku memenuhi minda hariku
Lupa akan diri alpa pada tanggungjawab diri
Maafkan kesalahan anakmu ini
Aku yang jahil dan penuh kejahilan
Masih mencari ilmu yang merata
Ilmu untuk mengenal tujuan hidup
Mengenal jalan pulang
Mencari yang abadi dan hakiki
Buat bekalan perjalanan yang abadi
Mari bersama kita mencari
Buat bekalan kita bersama....

Friday, April 11, 2008

Pembangunan Ilmu VS Pembangunan Batu

Pembangunan ilmu mengajar manusia mengenal jalan pulang
Pembangunan Batu menakutkan manusia untuk pulang

Pembangunan ilmu mencelikkan minda kita
Pembangunan Batu memenjarakan minda kita

Pembangunan ilmu menakutkan sang penguasa
Pembangunan batu umpan untuk rakyatnya

Pembangunan ilmu mendewasakan manusia
Pembangunan batu menelanjangkan manusia

Pembangunan ilmu mengajar untuk mengenang sejarah
Pembangunan batu merobek - robek sejarah terbilang

Pembangunan ilmu menuntut kita korbankan segala
Pembangunan batu terpaksa korbankan orang lain

Pembangunan ilmu mengajar kita kenal yang Esa
Pembangunan batu kita semakin lupa pada yang Esa

Pembangunan ilmu mengajar kita erti tanggungjawab berkeluarga
Pembangunan batu kita terpaksa meninggalkan keluarga

Pembangunan ilmu ada di pelusuk desa
Pembangunan batu ada duduk tempatnya

Pembangunan ilmu acapnya percuma hadirnya
Pembangunan batu ada nilai dalam hadirnya

Pembangunan ilmu Al Quran sunnah ikutannya
Pembangunan batu Yahudi perancang utamanya

Monday, April 7, 2008

BR Kuat atau Be End Lemah ?

Bermain di minda isu ini
BR kuat laksana garuda
Be End lemah seumpama cacing taik
Aku terkeliru seketika
Setahu aku,
Rasa benci yang memuncak berlaku revolusi ini
Rasa zalim yang menebal di dada pemimpin itu
Rasa tamak haloba menghalalkan segalanya
Rasa ketuanan menjadi puncanya
BR pun tidak segagah mana
BR hanya ada cita yang membara
BR tiada pilihan segalanya
Mengharapkan simpati dari marhain yang ditindas
BR perlukan bukan sekadar sokongan
BR perlukan bukan sekadar semangat
BR ditagih segala penjuru yang ditindas
Dari tahtha yang tinggi ke lumpur yang hina
Dari mutiara si nilam hingga batu di jalan
BR perlulah merobah cita rentaknya
BR perlu mengolah lenggok jalannya
Biar sanjungan menjadi kata
Bukti menjadi sebagai tanda
Bukan sekadar lega di kerusi empuk
Sekadar berbangga bergelar dato'
Setiap sendi harus di baja
Urat dan otot pasti dibaji
Penyokong dan pengikut mesti diramai
Haluan yang dituju biar tetap tujuan
Onak dan duri bercambah berbilang
Musuh kau hadapi pelbagai bentuknya
BR biarlah nampaknya jantan
Bukan berkokok tajinya tumpul
Tak bisa lari si cacingnya kerawit

Tuesday, April 1, 2008

Aku Di Jerat Riba ?

Aku bukan dilahirkan sebagai seorang hartawan. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana. Namun bila aku mula bekerja aku mula juga belajar mendekatkan diri dengan Tuhanku. Aku semakin takut dengan satu dosa. Dosa yang terbit dengan amalan riba. Apakah aku sudah terjerat dengan riba ?
1. Gaji yang aku dapat disalurkan terus ke bank. Bank yang tiada langsung ada perkataan 'Islam' dalam namanya. Bank ini pula menawarkan pelbagai jenis pinjaman kepada orang Islam dan bukan Islam. Dalam pinjaman ini pula dikenakan pelbagai jenis faedah dengan kata lain riba. Rupanya sehari wang gajiku ada dalam bank ini semestinya wang gajiku juga digunakan dalam urusniaga mereka. Jadi sebaik sahaja gaji masuk aku keluarkan segera. Biar aku simpan dalam Bank yang ada kaitan dengan Islam.
2. Waktu aku jahil dulu, aku menjadi ahli dalam sebuah koperasi. Wang gajiku dipotong setiap bulan. Semakin lama semakin bertambah wang simpananku. Di awal tahun pula aku dihantar dengan sekeping cek dividen. Gembira di hatiku bukan kepalang. Fikir punya fikir aku ini seorang zalim rupanya. Koperasi yang aku jadi ahli ini menyediakan pinjaman peribadi kepada setiap ahli. 4% dikenakan kepada setiap peminjam. Wang yang aku simpan di koperasi ini digunakan dalam urusniaga ini. Aku bersubahat dalam riba rupanya. Aku ambil keputusan untuk keluar dari koperasi zalim ini.
Marilah kita fikirkan bersama. Kita menyokong perjuangan Islam, tapi perbuatan kita ke arah menggalakkan riba. Kita mengaut keuntungan yang sedikit dengan menindas sesama kita sama ada melalui sistem bank ataupun sistem koperasi. Alangkah zalimnya kita. Bukankah matlamat terakhir kita ialah akhirat. Ingatlah keuntungan dari sistem yang menindas ini tidak mendapat berkat dari Allah. Gunakan akal berlandaskan iman dalam membuat simpanan wang kita.

Tembikai

Satu nikmat yang bermanfaat
Petani mendapat hasil jualannya
Peniaga mendapat laba darinya
Pekilang mendapat untung dengannya
Baja,racun,mesin dan logam diguna bersama
Tembikai
Warna mu pelbagai belaka
Kuning,merah dan susu ada belaka
Nikmat rasa pelbagai ragamnya
Manusia dan haiwan makan segalanya
Tembikai
Malam ini ku dengar tentang mu
Menjadi makanan Rasul agungku
Di makan baginda bersamanya tamar
Untung hadir mu di makan baginda
Menjadi ikutan umat pilihan
Tembikai
Engkau bagai sebutir permata
Manfaat berjuta dengan mu tembikai
Resepi berjuta dengan mu tembikai
Syukur sujudku pada mu Ilahi

Sunday, March 30, 2008

Aku Dan Nafsu

Skrin menunjuk aksi
Perempuan, betina, gadis semuanya ada
Mamapar gaya, aksi menggoda
Hingga aku mula lupa seketika
Iman di dada entah ke mana
Nafsu menggila ku ikut jua
Semakinku turut semakin asyik
Hingga aku lupa tujuan dan hilang arahnya
Namun aku bersyukur
Debu iman di hati teruja jua
Menyedarkan aku azabnya neraka
Menakutkan aku bertambahnya dosa
Ampunkan aku Ya Allah
Bukan niatku nikmat begini
Sia nikmatMu tidak mungkin ku ulangi

Thursday, March 27, 2008

Reformasi xxx Hadhari

Xxx Hadhari mula menampakkan keunggulan dalam penghayatannya. xxx Hadhari yang digunapakai oleh sesetengah golongan menjadi semakin nipis topeng kemunafikkannya. Marilah bersama - sama kita memikirkan tentang penghayatan nilai xxx Hadhari ini.
  1. Adakah amalan mengengkari arahan pihak istana terkandung dalam salah satu prinsip dalam xxx Hadhari?
  2. Apakah sifat menderhaka kepada Ulul Amri termaktub dalam falsafah xxx Hadhari?
  3. Xxx Hadhari juga perlukan sikap tindas menindas sesama Islam ?
  4. Xxx Hadhari juga melaksanakan konsep dengar dan patuh membabi buta ?
  5. Perwatakan seorang ketua mestilah seorang yang angkuh dan sombong ?
  6. Lidah insan yang menjana dan mewar-warkan xxx Hadhari juga perlu bercabang dan penuh lakonan ucapannya ?
  7. Tunjuk perasaan untuk menaikkan seseorang tokoh perlulah disertai dengan kata nista dan caci mencaci ?
  8. Xxx Hadhari mementingkan sikap menyokong membuta tuli berasaskan prinsip termakan budi yang melangit?
  9. Kata mengata untuk ahli sesama kumpulan di bolehkan ?
  10. Kepentingan peribadi mengatasi kepentingan masyarakat ?
  11. Keperluan group lebih diutamakan melebihi kepentingan agama ?

Berdasarkan persoalan di atas, layakkah xxx hadhari menjadi pegangan kumpulan ini? Nampaknya semakin pelik sesuatu pendekatan digunapakai semakin terserlah sifat munafik kumpulan ini. Nasib baiklah kumpulan ini di sokong oleh mereka yang semakin kurang nilai fikirnya, nilai kemanusiaannya dan kefahaman agamanya. Untunglah mereka yang berjaya mencipta xxx Hadhari ini semata - mata memperbodohkan pengikutnya.

Saturday, March 22, 2008

Sinar Alam

Rabiul Awal di Tahun Gajah
Lahirnya seorang penyelamat bumi
Lahirnya seorang pemandu umat
Sinar alam menerangi kini
kegelapan malam berlalu pergi
Membawa ajaran menuju jaya
Menyuluh jalan abadi yang pasti
Membawa agama dari langit yang satu
Mengajar kenal syurga dan neraka
Akidah dan ibadah dipandu jua
Keadilan sejagat dijaga sekalian alam
Akhlak terpuji ikutan mulia
Semangat kental tiada tandingnya
Sabar menempuh segala rintangan
Islam di bawa ikutan kita
Iman dan taqwa mesti di hati
Pedoman di bawa harta abadi
Hadis dan sunnah pedoman harian
Ingatan iman suluh perjalanan
Al Quran mulia kitab ikutan
Mari teruskan jihad Islam ini
Amal Ma'ruf nahi mungkar di hati
Jihad berjihad walau tiada siapa di sisi
Jiwa raga dan nyawa pengorbanan dipinta
Hidup abadi hanya di sana
Yakin di hati bersarang di jiwa
Doaku padaMu wahai Yang Esa
Temukan daku dengan Rasulku
Syafaat Rasulku tiada terbeli
Tiada tertukar harta, anak, dan pangkat
Hanya syurga Allah idaman di hati

Friday, March 14, 2008

Bangsa Tanah

Tanah
Kau dan aku sebangsa dengannya
Tempat kau dan aku bermain
Berlari, bekerja dan menjalani kehidupan
Tanah
Kau sumber makananku
Padi,gandum dan tembikai
Hidup dan membiak di atasmu
Kambing dan biawak berkejar di atasmu
Tanah
Di atasmu aku bergerak
Di dalam mu aku akan di semadikan
Raja,hamba,Islam, kafir
Menjadi penghunimu
Hari ini mungkin kami melupaimu
Kau tidak akan melupakan kami
Kami alpa padamu tanah
Maafkan kesalahan kami wahai tanah
Tuhanmu dan tuhan kami sama menjadikan kita
Aku bermohon padanya
Semoga selamatlah kami di dalammu

Monday, February 18, 2008

Orang Utan

Sesekali aku terdengar nama mu
Teringat kisah suka hidup mu
Kekadang kau lebih mulia dari manusia
Kekadang kelebihan mu mengatasi insan bergelar manusia
Orang Utan
Tidak pernah kaum mu merampas tanah manusia
Namun manusia merampas desa mu
Desa balak mu dirampas rakus oleh manusia
Tongkat Ali,kacip Patimah mungkin hasilan desa mu jua
Orang Utan
Hidup mu penuh kedamaian
Kau tidak mungkin pernah buang anak mu ke dalam sungai
Tong sampah lagi tidak mungkin
Mangkuk tandas juga tidak ku temui anak mu
Orang Utan
Kau tidak kenal motosikal
Kau tidak terlibat dengan lumba haram
Kau tidak merempit di tengah kotaraya
Namun kaum muda manusia yang tiada agama
Mereka mempunyai PHD dalam bidang ini
Orang Utan
Dadah juga tiada dalam kamus hidup mu
Kau tidak inginkannya
Kekadang kau digunakan oleh saintis untuk menguji dadah
Nyawa mu menjadi ujian untuk kehidupan manusia
Mulia hidup mu rupanya
Orang Utan
Kau kenal dunia ini sementara
Rumah dan sarang mu sama selamanya
Kau tiada banglow puluhan juta
Tidak kau tamak harta dunia yang sementara
Tidak seperti manusia yang lupa jalan pulangnya
Orang Utan
Bahasa mu hanya difahami Sulaiman a.s
Mungkin bertasbih memuji yang Esa
Tapi ada sesetengah manusia
Lupa pencipta lupa tanggungjawabnya
Tiada bekalan untuk di bawa pulangnya
Orang Utan
Tidak pernah kau meletupkan musuh mu
Betina liar mu tidak pernah kau hina matinya
Manusia sebangsaku lebih ganas dari mu
Letup,bunuh,bakar,gantung
Jadi mainan hidupnya
Orang Utan
Sejak aku kenali mu
Bahasa mu bahasa itu jua
Namun bangsa ku
Sekejap ke timur sekejap ke barat
Pendirian tiada yang ada cuma RM di raja
Orang Utan
Kau juga ada persamaan dengan undang - undang ku
Siapa kuat dialah raja
Bukan yang benar itulah yang betul
Tapi yang paling kuat dipilih jadi ketua
Mungkin ketua mu seperti ketua mereka juga
Kuat penipu
Maafkan aku Orang Utan
Orang Utan
Remaja mu lebih suci dari segelintir remaja ku
Mereka tidak terikut dengan Orang Utan barat
Tidak terikut budaya asing
Tidak mencukur bulu kening
Tidak berfesyen rambut bagai landak
Tidak menunjuk pusat pada Sang Belang
Tapi remaja ku
Lakukan semuanya kerana wang
Rupanya kau lebih mulia dari manusia
Manusia yang lupa agamanya
Manusia yang tidak kenal peraturan Tuhannya
Benarlah termaktub dalam kitab Quran ku
Kekadang manusia makhluk paling mulia dari malaikat
Kekadang manusia lebih hina dari seekor BABI
Pilihlah kita...
Menjadi mulia
Menjadi hina

Pagar Ilmu

Kenapa kau pagar ilmu ini
Segala macam pagar kau kenakan
Derita insan yang serba jahil
Untuk mencari ilmu yang diperlukan
Pagar yang kau ciptakan
rupanya jarang
Lagi banyak lubangnya
Ilmu yang kau
penjarakan mengalir tanpa halangan
Memasuki kotak - kotak fikiran insan
Yang tandus dan gersang ini
Ilmu menjadi sumber kehidupan
Kehidupan untuk hari ini
Dan pentingnya
Untuk hidup di masa depan
Gedung ilmu terbuka sudah
Angkasanya ilmu bagi yang mahu
Lagi mampu
Mencarinya perlukan pengorbanan
Masa dan daya penentu jaya
Pagar yang kau adakan
Hanya sedap mu jua
Kau tidak mampu mengawalnya
Bisakan angin kau gengam erat
Bisakah pasir kau hitung patinya
Kau berupaya ada batasnya
Namun yang pasti
Pagar itu hanya igauwan cuma
Menakutkan mu
Mentertawakan mu jua
Hanya Allah yang maha kuasa

Demam

Kadang - kadang rasa sejuk badan ini
Kadang - kadang terasa panas pula
Panadol sepasang telah ku telan
Aduh terasa nyaman sekejap
Perit mencengkam tekak ku
Bangun menjamah sedeguk air
Sejuk pula datang menjelma
Selimut tebal ku bungkus badan ku
Panas pula terasa
Aku kagum dengan anugerah Allah
Bisa membuat sejuk panas
Teringat aku nyamannya Syurga
Takut akan ku panasnya neraka
Azab tidak terhingga katanya ustaz
Quran dan hadis nyatakan belaka
Aku berlindung dengan Mu Ya Allah
Dari azab seksanya neraka
Demam satu peringatan dari Mu
Ingatkan aku nikmatnya sihat
Tidak terbayar wangnya berjuta
Untuk membeli nikmatnya sihat

Monday, February 11, 2008

Mentari



Mentari
Kau anugerah dari Ilahi
Hadirmu di dingin pagi
Menyeru segala manusia beriman
Menyembah yang Esa dengan namanya Subuh
Mentari
Sewaktu kau meninggi diangkasa
Panas membakar kulit si buruh
tergelincir ke Barat
Engkau sekali lagi menanda
Kerjakan Zohor amanah setiap manusia
Yang beriman laksanakan segera
Mentari
Gerakmu tiada sahaja diangkasa
Gerakmu penuh erti dan pengertian
Bahangmu tiada selamanya bahang keperitan
kekadang bahangmu lembut ada ertinya
condongmu ke Barat ada gunanya
Yang beriman ketahui kini
Asar sudah mendatang pula
Mentari
Semakin lemah sinarmu kini
Pekerja kantor berkereta pulang
Anak - anak kecil berlari manja di padang
Terang masih terlihat
Cerah masih ceria
Wajahmu anggun dikaki laut
Mentari
Mentari sewaktu wajahmu hilang dikaki langit
Sinarmu membawa seribu kebahagiaan
Hilangnya wajahmu di petang Ramadhan
Datanglah nikmat bernama makanan
Berbuka lah bagi mereka yang berpuasa
Maghrib dikerjakan seiklas mungkin
Moga diterima olehMu Ya Allah
Mentari
Sinarmu hilang sudah diangkasa
Gelap gulita duniaku kini
Isya pula akan didirikan
Berakhirlah sudah farduMu yang Lima
Mentari
Hadirkah kau lagi untuk esokku
Hadirkah kau lagi penanda waktuku
Nikmat di angkasa bagi yang mengerti
Nikmat berjuta dari mu mentari
Anugerah Ilahi untuk hamba - hambanya
Anugerah percuma untuk semua
Itulah anugerah tiada yang mencabarnya
Anugerah dari
Tuhanku
Yang maha kaya
Yang maha kuasa

Suriku AnugerahNya

Alhamdulilah
Bersyukur hamba ini padaMu
AnugerahMu seorang suri padaku
Mengajarku tentang wujudMu
Mengajarku mengenal jalan pulang
Dulu
Aku sesat dalam perjalanan
Aku buta dalam kesiangan
Aku meraba dalam sinar mentari
Tiada aku kenal dosa dan pahala
Tiada aku kenal syurga dan neraka
Aku bergembira dalam sengsara suriku
Engkau mengajarku adanya kiblat
Engkau mengajar tentangnya akhirat
Bersyukur padaMu Ilahi
Hatiku belum kau pateri mati
Telingaku masih mampu mendengar yang hak
Dulu aku rasakan Ramadhan satu penyiksaan
Kini aku sedar
Ramadhan penuh kenikmatan
Bersyukur aku padaMu Ya Allah
Suri yang Kau anugerahkan nikmatnya permata
suri yang Kau kirimkan nikmatnya syurga
Aku berlindung denganMu Ya Allah
Dari fitnah aku disana kerana suriku
Ampun dosa ku
Ampun dosa suriku Ya Allah
Kami hanya hamba Mu jua
Kami mengharap redhaMu jua

Hospital

Lemah anggotaku memasuki daerah ini
Keinsafan menggunung datang mendakapku
Betapa aku harus bersyukur
Pada yang Esa
Pada yang mencipta, yang menjadikanKu
Sihat sehingga hari ini
Aku menjamah setiap makanan yang ada
Aku dapat menghirup segala cecair yang ada
Tanpa perlu memikirkan tentang gula,garam dan lemak
Alangkah ruginya mereka
Punya wang berjuta
makan dan minum dijaga segala lebihnya
Disukat gula , garam dan lemak
Dibekal ubat yang beraneka
Dapatkah wang penentu kebahagiaan.
Di tingkat atasnya pula
Ada insan yang tidak upaya bergerak
Ada kaki digantung
Ada yang tangan dibaluti besi
Bersyukurlah aku..
Tiada punya kereta mewah untuk ku bergerak
Tiada punya motor besar untuk ke menderum
Namun aku punya tangan dan kaki untuk bebas
Bergerak,berlari,dan beribadat untuk ilahi
BersyukurKu padaMu Ya Allah
Anugerah yang diberi InsyaAllah
takkan ku persiakan
Aku bersyukur padamu Ya Allah
Atas segala yang ku miliki
Atas nikmatMu jua

Tuesday, February 5, 2008

Sombong

Gaya jalannya begitu bersahaja
Seolah - olah bumi ini dia yang punya
Cara cakapnya demikian rupa
Dia tahu semuanya dia tahu segalanya
Pakaian yang dipakai hebat rasanya
tidak mampu dipakai oleh insan sefakir kita
Harta dimiliki setara Qarun anggapnya
kedai dan gudang hartanya bertimbun
Ilmu yang ada tinggi melangit
Anugerah yang diterima tergantung memenuhi dinding
Rasanya bijak tiada sebanding
Namun dia lupa haknya pada segala
Lupa yang segalanya anugerah Yang Esa
Bumi yang dipijak hanya sementara
Langit yang dijunjung bukan haknya jua
Nyawa dibadan pinjaman sementara
Bulu dan urat nadinya jua pemberian Yang Esa
Kasihan melihat manusia yang lupa
Lupa arah lupa tujuan dan lupa jalan pulang
Moga - moga Ya Allah jauhi aku dari sifat
Orang sombong yang pelupa

Wednesday, January 9, 2008

Malu

Terasa panas hari ini
Melihat manusia yang hilang malunya
Melihat manusia yang sudah menjadi haiwan
Melihat manusia yang bersifat syaitan...

Mereka hanyut dalam kemajuan
Mereka alpa dalam keseronokan
Mereka berbogel menunjukkan kemajuan
Mereka tenggelam dalam keseronokan

Bogel mereka akan kekal di sini
Bogel mereka akan dilihat oleh keluarga sendiri
Bogel mereka tontonan anak mereka
Bogel mereka ketawa hilai cucu mereka

Insaflah.....