Tuesday, April 1, 2008

Aku Di Jerat Riba ?

Aku bukan dilahirkan sebagai seorang hartawan. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana. Namun bila aku mula bekerja aku mula juga belajar mendekatkan diri dengan Tuhanku. Aku semakin takut dengan satu dosa. Dosa yang terbit dengan amalan riba. Apakah aku sudah terjerat dengan riba ?
1. Gaji yang aku dapat disalurkan terus ke bank. Bank yang tiada langsung ada perkataan 'Islam' dalam namanya. Bank ini pula menawarkan pelbagai jenis pinjaman kepada orang Islam dan bukan Islam. Dalam pinjaman ini pula dikenakan pelbagai jenis faedah dengan kata lain riba. Rupanya sehari wang gajiku ada dalam bank ini semestinya wang gajiku juga digunakan dalam urusniaga mereka. Jadi sebaik sahaja gaji masuk aku keluarkan segera. Biar aku simpan dalam Bank yang ada kaitan dengan Islam.
2. Waktu aku jahil dulu, aku menjadi ahli dalam sebuah koperasi. Wang gajiku dipotong setiap bulan. Semakin lama semakin bertambah wang simpananku. Di awal tahun pula aku dihantar dengan sekeping cek dividen. Gembira di hatiku bukan kepalang. Fikir punya fikir aku ini seorang zalim rupanya. Koperasi yang aku jadi ahli ini menyediakan pinjaman peribadi kepada setiap ahli. 4% dikenakan kepada setiap peminjam. Wang yang aku simpan di koperasi ini digunakan dalam urusniaga ini. Aku bersubahat dalam riba rupanya. Aku ambil keputusan untuk keluar dari koperasi zalim ini.
Marilah kita fikirkan bersama. Kita menyokong perjuangan Islam, tapi perbuatan kita ke arah menggalakkan riba. Kita mengaut keuntungan yang sedikit dengan menindas sesama kita sama ada melalui sistem bank ataupun sistem koperasi. Alangkah zalimnya kita. Bukankah matlamat terakhir kita ialah akhirat. Ingatlah keuntungan dari sistem yang menindas ini tidak mendapat berkat dari Allah. Gunakan akal berlandaskan iman dalam membuat simpanan wang kita.

No comments: